Ketuat disebabkan oleh jangkitan virus, human papillomavirus (HPV). Ia boleh melibatkan bahagian kulit dan mukosa seperti di bahagian alat kelamin lelaki dan perempuan.

Penyebab

Terdapat lebih dari 100 jenis HPV dengan pelbagai jenis gejala. Ketuat yang biasa disebabkan oleh HPV jenis 2 dan 4 (paling kerap), diikuti dengan jenis 1, 3, 27, 29, and 57. Ketuat yang dalam dibahagian tapak tangan dan kaki disebabkan oleh HPV jenis 1 (paling kerap), diikuti jenis 2, 3, 4, 27, 29, and 57. Ketuat yang leper disebabkan oleh HPV jenis 3, 10, and 28

Ketuat berjangkit dari individu ke individu lain melalui sentuhan. Ia juga boleh merebak dari satu bahagian ke bahagian lain individu yang sama melalui autoinokulasi. Risiko jangkitan lebih tinggi jika lapisan kulit luaran tidak normal.

Terdapat beberapa jenis HPV yang boleh menyebabkan kanser seperti HPV jenis 6,11,16,18 dan 35. Transformasi kepada kanser boleh berlaku sekiranya ia melibatkan bahagian mukosa alat kelamin atau individu yang kurang daya tahan sistem imun.

Gejala-gejala

Ketuat boleh melibatkan semua peringkat umur tetapi kebiasaanya melibatkan kanak-kanak dan remaja dari umur 12 hingga16 tahun. Terdapat pelbagai rupa ketuat seperti ketuat yang biasa (common wart), ketuat berbentuk filiform, ketuat dibahagian alat kelamin (genital wart), ketuat yang leper (flat wart) atau ketuat yang dalam di tapak tangan dan tapak kaki (deep palmoplantar warts).

Ketuat yang biasa juga dipanggil verruca vulgaris (Gambar 1). Ianya timbul dengan permukaan yang tidak rata dan bersaiz 1 mm hingga 1 sm. Ketuat berbentuk filiform (Gambar 2) timbul kebiasaannya di bahagian muka dan kelopak mata tetapi boleh melibatkan bahagian badan yang lain. Ketuat yang dalam di bahagian tapak kaki (Gambar 3) kebiasaanya melibatkan kawasan yang menanggung berat badan, dekat jari-jari kaki dan tumit kaki. Ketuat yang leper (Gambar 4) mempunyai permukaan yang licin atau sedikit kasar dan bersaiz 1-5 mm. Bilangannya boleh melebihi beberapa biji dan melibatkan bahagian muka, tangan dan kaki.

Gambar 1: Ketuat biasa
Gambar 2: Ketuat berbentuk Filiform
Gambar 3: Ketuat tapak kaki
Gambar 4: Ketuat leper pada tangan

Rawatan

Terdapat pelbagai rawatan tetapi agak sukar untuk membuang ketuat sepenuhnya. Percubaan rawatan perlu dibuat beberapa kali sekiranya gagal . Tanpa rawatan, 65% ketuat boleh hilang selepas 2 tahun. Namun begitu,  tanpa rawatan, ia boleh membesar dan merebak lebih banyak.

Terdapat pelbagai rawatan seperti berikut:

  1. Asid salicylic. Ianya boleh dibeli dan disapu atau di tampal dibahagian yang terlibat. Efektif  untuk 70 hingga 80% pesakit.
  2. Cryoterapi dengan suhu -196ºC boleh digunakan dan memerlukan rawatan ulangan setiap 1-4 minggu sehingga baik keseluruhannaya.
  3. Podophyllin khusus untuk rawatan ketuat di bahagian alat kelamin dan hanya boleh digunakan oleh doktor atau pegawai kesihatan yang terlatih.
  4. Laser terhad kepada beberapa situasi kerana risiko yang tinggi kepada pengendali laser dan boleh dijangkiti melalui saluran pernafasan.
  5. Tricholoacetic acid juga boleh digunakan untuk rawatan ketuat di bahagian alat kelamin dan hanya boleh dirawat oleh doktor atau pegawai kesihatan yang terlatih.
  6. Imiquimod mengubah respon sistem imun dan boleh di gunakan untuk rawatan ketuat di bahagian alat kelamin.
WhatsApp chat